Belia tempatan ceburi bidang diplomasi




Siaran Akhbar dan Foto : ASEAN Youth Advocates Network (AYAN) Brunei






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 Julai. - Golongan belia tempatan semakin aktif melibatkan diri dalam bidang hal ehwal antarabangsa melalui Program Young Aspiring Diplomats iaitu suatu inisiatif yang dikendalikan oleh golongan belia dan dianjurkan secara rasmi oleh ASEAN Youth Advocates Network (AYAN) Brunei.


Inisiatif ini menghubungkan belia tempatan dengan Kedutaan Timor-Leste melalui lawatan rasmi ke kedutaan dan pembentangan bermaklumat tentang diplomasi oleh mantan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Timor-Leste, Dayang Norazlianah binti Haji Ibrahim serta sesi perbincangan Meja Bulat bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres. 


Dalam sesi tersebut, Dayang Norazlinah berkongsi pengalaman serta pandangan beliau tentang bidang diplomasi, memberikan gambaran praktikal mengenai kerumitan, nilai dan tanggungjawab berkhidmat di luar negara.


Beliau juga turut menekankan kepentingan daya tahan, pemahaman budaya, dan usaha membina kepercayaan dalam hubungan antarabangsa.


Sementara itu, Tuan Yang Terutama Abel Guterres menghidupkan sesi dengan perkongsian kisah sejarah perjalanan Timor-Leste daripada usaha mencapai kemerdekaan, pembinaan negara, sehinggalah penglibatan dengan ASEAN.


TYT Abel Guterres turut berkongsi kisah peribadi beliau menjadi seorang duta, yang telah memberikan inspirasi mendalam kepada para peserta dan membangkitkan minat mereka terhadap bidang diplomasi.


Close